Friday, November 16

Kepentingan Pelajari Bahasa Inggeris........

       Sejak kebelakangan ini mutu pencapaian Bahasa Inggeris di negara kita menampakan kemerosotan yang ketara. Aliran Bahasa Inggeris dihapuskan sejak pelaksanaan Dasar Pendidikan Kebangsaan maka penguasaan pelajar dalam Bahasa Inggeris adalah amat rendah. Ia dibuktikan dalam keputusan peperiksaan pada tahun-tahun yang lepas. Oleh hal yang demikian, mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah bercadang dan membuat keputusan untuk mewajibkan Bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran dalam bidang Sains dan Matematik Tahun Satu dan Tingkatan Satu mulai tahun 2003. Justeru, Bahasa Inggeris haruslah dijadikan sebagai bahasa kedua penting dikira sama ada di sekolah rendah mahupun di sekolalah menengah demi kebaikan semua. Maka, Bahasa Inggeris memainkan peranan yang penting dalam kehidupan rakyat jelata.

       Selain itu, kepentingan Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam komunikasi antarabangsa. Hal ini dapat dibuktikan apabila jumlah penutur Bahasa Inggeris di seantero dunia mengatasi jumlah penutur bahasa utama lain seperti bahasa Perancis, Sepanyol, Arab, dan Rusia. Tidak dapat dinafikan bahawa bahasa utama yang digunakan semasa seseorang berkomunikasi dengan bangsa negara lain ialah bahasa Inggeris. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja memudahkan kita berhubung dengan dunia luar malah bahasa ini menjamin kelancaran urusan yang melibatkan bangsa negara lain. Misalnya, urusan seseorang dengan bangsa lain akan berjalan dengan lancar sekiranya seseorang itu menguasai bahasa Inggeris dengan sepenuhnya. Sebaliknya, urusan seseorang akan menempuh pelbagai dugaan sekiranya seseorang itu tidak petah dalam bahasa Inggeris. Hal ini jelas menampilkan kepentingan bahasa Inggeris

        Disamping itu, bahasa Inggeris juga merupakan bahasa utama dalam bidang perniagaan. Walaupun bahasa rasmi negara ialah bahasa Malaysia namun dalam bidang perniagaan bahasa yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris. Contohnya, bahasa Inggeris digunakan semasa sesuatu perniagaan sedang dijalankan. Menurut kajian, bahasa Malaysia jarang-jarang digunakan semasa urusan perniagaan dijalankan. Hal ini berlaku demikian kerana bahasa Malaysia kekurangan istilah yang tepat untuk mengungkapkan maksud dalam perniagaan. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja penting untuk menjamin peluang kejayaan kerjaya malah juga penting untuk menjamin hubungan yang mantap dalam bidang perniagaan. Jikalau bahasa Inggeris tidak dikuasai, maka perniagaan individu, syarikat, dan negara akan terbatas. Apabila peluang perniagaan terbatas, hal ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah juga menjejaskan hubungan diplomatik dan nama baik negara. Oleh itu, bahasa Inggeris amat penting dalam bidang perniagaan.

          Bukan itu sahaja, bahasa Inggeris penting kerana bahasa ini merupakan bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat dapat memperoleh maklumat-maklumat yang terkini supaya masyarakat tidak menjadi katak di bawah tempurung dengan syarat masyarakat dapat menguasai Bahasa Inggeris. Malahan, mereka juga dapat memahami isi-isi tersurat yang dipaparkan dalam maklumat antarabangsa yang disalurkan melalui satelit ataupun media massa seperti radio, televisyen, dan surat khabar. Lebih-lebih lagi pada era dunia siber teknologi ini, banyak alat teknologi yang canggih telah dicipta untuk memudahkan perhubungan masyarakat dengan dunia luar seperti internet tambahan pula, Bahasa Inggerislah yang terungkap dalam laman web. Jadi, Bahasa Inggeris haruslah dipandang berat kerana bahasa ini ialah bahasa telekomunikasi ataupun bahasa internet.
        Sebagai kesimpulannya, bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang amat mustahak untuk berhubung dengan bangsa lain, baik dengan masyarakat tempatan mahupun dengan masyarakat dunia luar. Walaupun bahasa Malaysia ialah bahasa rasmi negara kita tetapi bahasa kebangsaan negara ialah bahasa Inggeris. Ia amat penting untuk kemajuan negara. Penggunaan Bahasa Inggeris membolehkan masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara tidak langsungnya mempercepat pembangunan negara. Di samping itu, kemajuan hanya dicapai dengan lebih cepat sekiranya komunikasi dalam bahasa Inggeris berjalan dengan lancar dengan negara-negara maju. Dengan ini, kecemerlangan seseorang individu bergantung pada tahap penguasaan bahasa Inggeris. Oleh itu, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat penting dalam menimba ilmu pengetahuan, komunikasi antarabangsa, bidang teknologi, dan bidang perniagaan.

3 comments:

  1. Betul tu cikgu... Bahasa Inggeris juga penting sebagaimana Bahasa Melayu. Kita perlu kuasai kedua-duanya.

    ReplyDelete
  2. Selepas membaca maklumat yang dipaparkan, saya amat setuju bahawa Bahasa Inggeris adalah penting kerana ia merupakan bahasa antarabangsa.

    ReplyDelete
  3. Jangan lupa beri komen di blog saya!!!

    ReplyDelete